Secara normalnya, manusia dianugerahkan
Allah lima pancaindera untuk hidup di atas muka bumi ini. Telinga adalah satu
daripadanya. Malah telinga merupakan pancaindera yang paling awal berfungsi
berbanding yang lain.
Jika kita lihat pada kajian yang mengatakan
bahawa bayi itu dapat mendengar walaupun dia masih di dalam perut ibu, apabila
lahir sahaja ke dunia telinga terlebih dahulu berfungsi berbanding mata yang
agak lambat dan mengambil masa untuk melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT.
Begitulah Maha Kuasa dan berhikmahnya penciptaan Allah.
Kerana itulah, ada teori yang menggalakkan
ibu bapa memperdengarkan bayi di dalam kandungan itu dengan muzik yang
lembut-lembut. Ada juga yang menyarankan supaya si ibu selalu berbual dan
berkomunikasi dengan anak yang di dalam kandungannya agar dapat mengeratkan
hubungan.
Namun dalam Islam, ibu yang mengandung
digalakkan banyak mendengar dan memperdengarkan bacaan al-Quran kepada bayi
yang ada di dalam perutnya di samping memperbanyakkan juga bacaan al-Quran.
Hasilnya, ibu bapa bukan sahaja dapat memperkenalkan
dan membiasakan bayi mereka mendengar bacaan al-Quran, malahan mereka juga
dapat menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak.
Langkah pertama ini mestilah dilakukan
sekerap mungkin dan setiap hari. Ia juga perlu dilakukan berterusan walaupun
sesudah bayi tersebut lahir ke dunia. Apabila dia diperdengarkan dengan bacaan
al-Quran dia akan membesar dalam suasana yang al-Quran yang mulia.
Si ibu juga bolehlah mengguna saat-saat
keemasan ketika menyusukan anaknya dengan membaca al-Quran kerana itulah saat
bayi paling erat dan rapat dengan ibunya. Dengan menitipkan bisikan ayat suci
al-Quran, Insya-Allah bayinya akan lebih erat dengan ibunya dan terikat dengan
agamanya.
Janganlah ada alasan untuk tidak
memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran kepada anak kerana banyak jalan dan
inisiatif yang boleh digunakan pada masa kini. Kalaupun si ibu tidak boleh
membaca al-Quran kepada anaknya, dia boleh membuka radio, memasang kaset,
telefon bimbit dan komputer yang memperdengarkan bacaan al-Quran atau apa
sahaja alat yang digunakan untuk tujuan tersebut.
Perdengarkanlah ayat al-Quran sekerap
mungkin walaupun anak itu sedang bermain kerana pada hakikatnya telinganya
dapat menangkap bunyi-bunyi yang ada di sekelilingnya. Sebab itulah, tanpa kita
sedari terkadang anak-anak kita boleh menghafal lagu-lagu seperti lagu iklan
yang sering bermain di televisyen. Ini kerana peti televisyen itu sentiasa
terpasang. Walaupun anak itu sedang bermain, tetapi otaknya dapat menghafal apa
yang terpasang di dalam televisyen itu jika sering diulang-ulang.
Begitu juga dengan bacaan al-Quran. Saya
telah melakukan kajian bahawa anak yang sedang bermain itu mampu untuk
menghafal al-Quran jika dia kerap medengarnya saban hari.
Sebagai contoh, jika dibuka surah an-Nas
beberapa kali dalam sehari, tentu anda akan lihat anak anda akan mudah
menghafalnya dalam beberapa hari sahaja. Anda juga akan melihat si kecil itu
turut mengikut bacaan kaset walaupun dia sedang bermain. Itulah kuasa otak yang
telah Allah kurniakan kepada manusia. Subhanallah!
No comments:
Post a Comment