Wednesday, June 8, 2016

Jangan Harap Nak Senang Sahaja!



Dalam ibadah haji terkumpul segala kepayahan dalam pelaksanaannya. Oleh itu sesiapa yang mengharapkan kesenangan pastinya bertemu juga dengan kepayahan. Tidak kira bagaimana persiapan bekalan khususnya daripada segi kewangan dengan memilih pakej-pakej yang mewah untuk mengharapkan segala kemudahan tersedia dengan baik, tetap ada juga kesulitan-kesulitan yang bakal ditempuhinya.
Oleh itu kita tidak boleh mengambil mudah dalam hal pelaksanaan ibadah haji dan umrah ini. Apabila ditimpa kesukaran, tidak wajar kita meletakkan kesalahan di bahu orang lain. Sikap sedemikian amatlah tercela pada pandangan syarak dan mencacatkan statusnya sebagai tetamu Allah SWT.
Antara kesukaran yang terdapat dalam ibadah haji ialah kesulitan dalam perjalanan dan kesukaran dalam pelaksanaan ibadah haji itu sendiri. Larangan-larangan dalam ihram contohnya, amat menyulitkan kita kerana larangan tersebut melibatkan perkara-perkara yang biasa dilakukan seperti menggauli isteri, menutup kepala dan memakai pakaian yang berjahit bagi lelaki, memakai bau-bauan, memotong kuku dan perkara-perkara yang lainnya.
Malah kesesakan ketika tawaf, melontar jamrah di Mina, bermabit di Muzdalifah dan juga terpaksa bersesak-sesak ketika di masjid dan di tempat-tempat lain juga antara rentetan kepayahan yang bakal ditempuh. Semuanya ini memerlukan persiapan mental untuk bersabar dan mampu menerima keadaan di samping berlapang dada agar dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
Ingatlah, semakin besar kesukaran yang dihadapi dalam menjalani ibadah haji dan umrah, maka semakin besar pula balasan dan pahala yang diberikan oleh Allah SWT jika bersabar dengannya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada Aishah r.a.:

Sesungguhnya bagimu pahala mengikut kadar keletihan dan nafkahmu.
 (Riwayat Hakim)

No comments:

Post a Comment

Galeri Ilmu Sdn Bhd's Fan Box

Galeri Ilmu Sdn Bhd on Facebook