Wednesday, June 8, 2016

Berapa Banyak Anda Dapat Simpan Duit Gaji?





Orang yang baru bekerja perlu perbanyakkan simpanan. Ini bukan masa untuk berjoli. Apabila dapat gaji terus buat potongan dan masukkan dalam tabung simpanan, bukan tunggu ada duit lebih baru menyimpan. Ini antara prinsip penting dalam menyimpan wang.

Kalau sekarang gaji RM2,000 tidak ada duit lebih, tengok nanti gaji sudah RM5,000 sebulan pun tetap tidak akan ada duit lebih. Kalau tunggu duit lebih baru menyimpan, sampai bila-bila pun tidak akan menyimpan. Maka, sebaik-baik saahaja dapat gaji, terus potong dan masukkan dalam simpanan. Selebihnya baru buat belanja.


Berapa banyak kena menyimpan? Simpan sebanyak mungkin sebab ada banyak belanja yang bakal anda tanggung.

Beli tunai, maksudnya bayar dengan pendapatan hari ini. Beli secara hutang, maksudnya bayar dengan pendapatan masa depan. Bayar, tetap kena bayar.

Cuba bayangkan, pendapatan masa depan yang belum lagi kita terima, tetapi sudah habis dibelanjakan. Poket kita cuma tempat transit. Duit masuk, duit keluar. Nilai kekayaan tidak sikit pun bertambah.

Apa Hikmah Ada Larangan di Tanah Haram



Menjaga larangan dalam ihram termasuk perkara wajib bagi ibadah haji dan umrah. Selama mana seseorang itu berada dalam keadaan berihram yang bermula seawal niat dan memakai pakaian ihram, maka dilarang untuk melakukan mahzurat (larangan-larangan) ihram berikut;
a.       Memotong kuku dan mencukur atau menggugurkan rambut dan bulu-bulu di badan
b.      Memakai wangi-wangian
c.       Memburu binatang darat, sama ada membunuhnya mahupun mengusirnya
d.      Memotong pokok-pokok yang ada di Tanah Haram
e.       Meminang wanita, melakukan akad nikah ataupun menikahkan
f.       Menggauli isteri atau mencumbuinya dengan syahwat
g.      Menutup kepala bagi lelaki dan memakai pakaian yang berjahit
h.      Memakai sarung tangan bagi wanita dan menutup muka dengan niqab (cadar/purdah)

Hikmah adanya ketetapan mahzurat (larangan-larangan) dalam ihram ini berkait rapat dengan kemuliaan Tanah Haram itu sendiri. Sebagai contoh, jika kita berkunjung ke sesebuah negeri, para pengunjung mesti patuh kepada peraturan dan undang-undang negeri tersebut. Setiap peraturan mesti dijaga dan dilaksanakan oleh para pengunjung. 

Demikianlah dengan mahzurat (larangan-larangan) ihram, ia adalah aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan mesti ditaati oleh para tetamu-Nya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Ingatlah, bahawa setiap raja memiliki daerah larangan (yang tidak boleh dimasuki oleh orang lain). Ingatlah, sesungguhnya daerah larangan Allah SWT di bumi-Nya adalah larangan-larangan-Nya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jangan Harap Nak Senang Sahaja!



Dalam ibadah haji terkumpul segala kepayahan dalam pelaksanaannya. Oleh itu sesiapa yang mengharapkan kesenangan pastinya bertemu juga dengan kepayahan. Tidak kira bagaimana persiapan bekalan khususnya daripada segi kewangan dengan memilih pakej-pakej yang mewah untuk mengharapkan segala kemudahan tersedia dengan baik, tetap ada juga kesulitan-kesulitan yang bakal ditempuhinya.
Oleh itu kita tidak boleh mengambil mudah dalam hal pelaksanaan ibadah haji dan umrah ini. Apabila ditimpa kesukaran, tidak wajar kita meletakkan kesalahan di bahu orang lain. Sikap sedemikian amatlah tercela pada pandangan syarak dan mencacatkan statusnya sebagai tetamu Allah SWT.
Antara kesukaran yang terdapat dalam ibadah haji ialah kesulitan dalam perjalanan dan kesukaran dalam pelaksanaan ibadah haji itu sendiri. Larangan-larangan dalam ihram contohnya, amat menyulitkan kita kerana larangan tersebut melibatkan perkara-perkara yang biasa dilakukan seperti menggauli isteri, menutup kepala dan memakai pakaian yang berjahit bagi lelaki, memakai bau-bauan, memotong kuku dan perkara-perkara yang lainnya.
Malah kesesakan ketika tawaf, melontar jamrah di Mina, bermabit di Muzdalifah dan juga terpaksa bersesak-sesak ketika di masjid dan di tempat-tempat lain juga antara rentetan kepayahan yang bakal ditempuh. Semuanya ini memerlukan persiapan mental untuk bersabar dan mampu menerima keadaan di samping berlapang dada agar dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
Ingatlah, semakin besar kesukaran yang dihadapi dalam menjalani ibadah haji dan umrah, maka semakin besar pula balasan dan pahala yang diberikan oleh Allah SWT jika bersabar dengannya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada Aishah r.a.:

Sesungguhnya bagimu pahala mengikut kadar keletihan dan nafkahmu.
 (Riwayat Hakim)

Galeri Ilmu Sdn Bhd's Fan Box

Galeri Ilmu Sdn Bhd on Facebook